Salah satu pantun yang sering dinyanyikan oleh seh gendang dalam majlis bermukun ialah pantun yang dikenali sebagai main lama diulang baru. Pantun berkenaan versi saya diperturunkan di sini untuk kitav teliti bersama.
kain lama kesumba baru
kain putih jadi tuala
main lama diulang baru
lebih kasih dari semula
Semasa dinyanyikan biasanya pada awal majlis dan kemudiannya mungkin diulang dalam persembahan semalaman boleh membawa makna majlis bergendang itu yang setelah sekian lama tidak diadakan kini diadakan semula. Kalau ini maksudnya maka pantun itu sekadar pantun biasa.
Bagaimanapun pantun itu juga boleh sahaja bermakna kisah cinta lama yang sudah tergendala baik kerana sama-sama sudah tidak berminat atau disebabkan anasir luar lingkaran cinta itu, kini berputik semula. Dan apabila drama cinta itu menemui ruang baru untuk persembahannya, yakni apabila rasa kasih sayang dan cinta itu berputik semula, kesannya lebih mendalam dan pautannya lebih kukuh dan teguh.
Kenyataan itu mungkin sahaja benar di antara orang yang pernah bercinta, malah di antara duda dengan jandanya, kalau kebetulan duda itu kaki tandak dan jandanya seh genda, maka pantun itu boleh membawa makna yang lebih peribadi.
Pernah berlaku selepas majlis demikian duda dan janda tadi kembali rujuk dan menjadi pasangan bahagai yang lebih memahami dan lebih kasih mengasihani.
Kain kesumba ialah kain yang beerwarna merah menyala yang melambangkan aliran darah, atau perasaan penuh bersemangat.
Apakah pada zaman sms atau videophone kini pantun ini berfungsi sebagaimana diceritakan di sini?
Semasa saya masih kecil saya pernah diberitahu oleh orang dewasa tentang serangkap pantun yang kononnya untuk menjampi minyak supaya menjadi minyak senyonyong atau minyak pugai iaitu minyak untuk memikat hati orang yang kita kehendaki untuk dijadikan suami atau isteri.
Pantunnya berbunyi begini
minyak senyonyong
disalai atas para
dilihat dekat macam lotong
dilihat jauh macam kera
Masa itu saya benar-benar percaya yang itulah jampinya. Bagaimanapun setelah dewasa saya sedar itu hanya gurauan kerana makna pada pantun itu langsung tidak akan menarik hati orang. Masakan orang terpikat dengan lotong dan kera.
Kepercayaan kepada ilmu pugai dan senyonyong ini pernah satu ketika menguasai fikiran orang kampung. Mereka yang ada anak dara dan teruna sentiasa berawas takut anak mereka dikenakan dengan ubat guna-guna terutama dalam bentuk minyak senyonyong atau minyak pugai.
Ramai yang percaya kalau ada orang tua baik atau lelaki atau perempuan yang berkahwin dengan pasangan yang lebih muda itu adalah kerana orang berkenaan mengamalkan pugai atau menggunakan minyak senyonyong.
Kuala Lumpur
2 Julai 2008 @0024