Posts Tagged ‘Berniaga’
Orang boleh menyindir sinis dan bertengkar menggunakan pantun. Misalnya kita sering mendengar pantun berbunyi
di tengah kuala belayar kapal
datang ke pantai turun berniaga
kalau kail panjang sejengkal
jangan lautan hendak diduga.
Pantun ini menyindir dan memberi peringatan kepada orang yang terhegeh-hegeh mencabar dan menduga orang yang sudah lama terlibat di dalam sesuatu bidang, atau sudah terbukti memiliki banyak kemahiran dan pengetahuannya.
Untuk menegur orang yang berlagak dan mengada-ngada tetapi tidak mahu melibatkan diri dengan cergas di dalam urusan yang diceburinya pantunnya yang sering digunakan ialah.
apa guna pergi ke bendang
kalau tidak berhuma padi
apa guna berambut panjang
kalau tidak berani mati.
Memang pada satu ketika, malah sampai sekarang, ada orang berambut
panjang untuk menunjukkan kegagahannya atau kehandalannya terutama berilmu silat.
Namun ada juga di antara mereka hanya berambut demikian sebagai fesyen dan tidak lebih daripada itu. Orang begini yang disindir dalam pantun berkenaan.
Di http://pantunonline.com kita pernah menyiar sebuah pantun Tan Sri Aziz Tapa untuk menegur Tun Mahathir Muhamad, yang sering menyerang secara lisan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
hujan panas darilah hulu
duduk berlindung di pohon belimbing
bila panas undur dahulu
boleh kelak balik berunding
Nyata nasihat yang disimpulkan di dalam pantun ini ialah semua pihak yang tidak sejalan fikiran harus berjauhan atau mengelakkan diri daripada terus berkonfrantasi terutama apabila dalam keadaan masih ghairah dan marah.
Mereka dalam keadaan harus berundur sementara dan berunding secara baik apabila keadaan lebih tenang dan fikiran lebih terutus dan lapang.
Nyata pantun bukan sahaja berguna untuk berkomunikasi atau menyatakan perasaan romantis dan aman malah boleh digunakan juga untuk menegur, menyindir dan bertengkar.
Tidak hairanlah ada agensi mengadakan pertandingan mencipta pantun dengan tema yang tidak romantis seperti galakan melabur, galakan mewujudkan kesedaran tentang pembayaran cukai dan banyak lagi.
