Posts Tagged ‘Hadir’

3
Jul

BULAN DAN BINTANG

   Posted by: saiee   in Puisi Lama

 

Kita sampai sekarang pun biasa dengan pantun berbunyi seperti berikut kerana itulah di antara pantun yang sering dijadikan nyanyian dan dendangan baik oleh seh gendang dalam majlis bermukun ataupun untuk mendiodoi anak.

kalau tidak kerana bulan

tidaklah bintang terbit pagi

kalau tidak kerana tuan

tidaklah saya datang ke mari

 

Pantun itu dianggap neutral dan bersahaja kerana pembayang pantunnya yang sederhana iaitu mengenai bulan dan bintang. Bagaimanapun bulan dan bintang ada nilai metaforik kerana kedua-duanya seolah-olah ada hubungkait kemanusiaan iaitu ajak mengajak sehingga yang satu hanya hadir kerana yang satu lagi hadir.

 

Makna pantunnya juga jadi berlapis-lapis mengikut situasi dan mereka yang terlibat. Kalau si ibu mendodoikan anaknya dengan pantun maka pantun menjadi pantun kasih saya antara keluarga. Malah ia menjadi pantun pendidikan untuk kanak-kanak yang diajar tentang ruang cakerawala.

 

Sekurang-kurangnya melalui pantun itu diperkenalkan dua objek di angkasa lepas itu bulan dan bintang dan diperkenalkan juga dengan konsep ‘terbit’ bagi objek itu.

 

Dalam pada itu pantun ini boleh juga ditafsirkan dalam konteks berkasih sayang atau asmaradana di antara teruna dan dara. Bagi konteks demikian pantun ini memberi suasana kesetiaan dan kasih sayang  dalam mana yang satu bersandar dan berkait dengan yang lain. Hadir yang satu adalah disebabkan yang satu lagi. Ada kemesraan dan ada pertalian jiwa yang kuat jadinya.

 

Bulan dan bintang dilihat sebagai objek yang amat sesuai digunakan di dalam pembayang maksud, kerana memiliki keindahan, kedudukan yang tinggi dan separuh maya - ada tapi tiada, boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang, dan wujud dalam suasana penuh misteri.