Posts Tagged ‘Heboh’

4
Jul

BUAH NANGKA, BUAH PAUH

   Posted by: saiee   in Puisi Lama

 

Alam sekitar dan amal budaya masyarakat menjadi sumber yang kaya bagi penggubah pantun mencari pembayang bagi pantunnya. Alam sekitar termasuk seluruh cakerawala, keadaan permukaan bumi dan geofiziknya, geoekonomi, geopiolitiknya, sejarah, legenda dan mitosnya, serta manusia dan kemanusiaan yang wujud di persekitaran itu.

Dengan itu melalui pembayang maksud pantun kita didekatkan dengan seluruh kosmos masyarakat dan seluruh sistem kehidupannya.  Ini menyebabkan seseorang penggubah pantun tidak akan kekeringan ilham untuk mencipta pembayang pantunnya, asalkan dia sudah ada mesej atau perutusan yang hendak disampaikan.

Cuba perhati pantun yang amat biasa kita dengannya ini: 

 

hendak gugur gugurlah nangka
jangan menimpa si dahan pauh
hendak tidur tidurlah mata
jangan mengenang orang yang jauh

 

Di sini kita diperkenalkan dengan buah nangka yang kalau sudah cukup ranum akan gugur, yang sekali gus ada kaitannya dengan mata seseorang yang kalau hendak tidur walau dalam keadaan apa sekali pun boleh saja tidur.

Kita juga diperkenalkan dengan buah pauh, sejenis buah asam yang tidak begitu popular kerana rasanya tidak sesedap mangga, kuini atau mempelam.  Keistimewaan buah pauh ialah pokoknya yang biasanya tinggi dan batangnya tegap dan kukuh.  Namun pokok pauh dan nangka boleh hidup berjiran hanya pokok nangka sering kali lebih rendah daripada pauh.

Ini sekali gus memberi bayangan bahawa kalau hendak memenuhi keperluan peribadi seperti nangka hendak jatuh, tidak perlu heboh-heboh dan laksanakan sahaja tugas itu.

Dalam mesej atau maksud pantun ini diceritakan nasihat dan pesanan kepada mata, bahawa kalau hendak tidur, tidur sahajalah, jangan dipengaruhi oleh ingatan atau kenangan terhadap orang yang jauh di mata.

Sekali lagi ada kaitan dengan gambaran di dalam pembayang dengan maksud pantun, menjadikannya sebuah pantun yang kukuh jalinan dan anyamannya.