Posts Tagged ‘senyonyong’

2
Jul

PANTUN MINYAK SENYONYONG

   Posted by: saiee   in Puisi Lama

Semasa saya masih kecil saya pernah diberitahu oleh orang dewasa tentang serangkap pantun yang kononnya untuk menjampi minyak supaya menjadi minyak senyonyong atau minyak pugai iaitu minyak untuk memikat hati orang yang kita kehendaki untuk dijadikan suami atau isteri.

Pantunnya berbunyi begini

minyak senyonyong
disalai atas para
dilihat dekat macam lotong
dilihat jauh macam kera

Masa itu saya benar-benar percaya yang itulah jampinya. Bagaimanapun setelah dewasa saya sedar itu hanya gurauan kerana makna pada pantun itu langsung tidak akan menarik hati orang. Masakan orang terpikat dengan lotong dan kera.

Kepercayaan kepada ilmu pugai dan senyonyong ini pernah satu ketika menguasai fikiran orang kampung. Mereka yang ada anak dara dan teruna sentiasa berawas takut anak mereka dikenakan dengan ubat guna-guna terutama dalam bentuk minyak senyonyong atau minyak pugai.

Ramai yang percaya kalau ada orang tua baik atau lelaki atau perempuan yang berkahwin dengan pasangan yang lebih muda itu adalah kerana orang berkenaan mengamalkan pugai atau menggunakan minyak senyonyong.

Kuala Lumpur

2 Julai 2008 @0024